Friday, February 6, 2009

Dompet elektronik gaya hidup baru?

KEMUDAHAN menjalankan transaksi kewangan menerusi laman web sesebuah bank di Internet sudah semakin diterima dan dilaksanakan secara meluas oleh kebanyakan individu di negara ini.Menerusinya, aktiviti seperti membayar bil, pindahan akaun, membeli-belah dan menambah nilai kini berada di hujung jari pengguna dan boleh dilaksanakan di mana-mana sahaja.Namun, tidak dinafikan masih ada sesetengah golongan yang kurang mempercayainya dengan menganggap saluran tersebut tidak memberi jaminan dari segi keselamatan dan masih ingin terus menggunakan cara konvensional.Tetapi jika ditanya kepada golongan yang telah menggunakan perkhidmatan tersebut pula, mereka mungkin berpendapat ia amat mudah dan menjimatkan masa kerana tidak perlu lagi beratur panjang di kaunter.Walau apa pun pendapat yang dilontarkan, kemajuan teknologi akan tetap berkembang dalam membekalkan kemudahan moden dan canggih untuk diaplikasikan oleh manusia.Tidak cukup dengan perkhidmatan itu, pengguna kini ditawarkan dengan satu lagi kemudahan pengurusan kewangan terbaru yang dikenali sebagai dompet elektronik atau e-dompet.Pengenalannya bertujuan untuk memudah dan melancarkan pembayaran di institusi kewangan sama ada untuk transaksi tunai, kad kredit, kad debit, cek, program kad kesetiaan pelanggan, item promosi seperti kupon dan sebagainya.Ketika ini, kebanyakan pengguna akan mengunjungi sendiri bank untuk menguruskan transaksi berkenaan dengan melibatkan pelbagai dokumen atau menggunakan telefon bimbit sebagai medium mudah alih.Namun dengan kehadiran alat dompet elektronik ini, fokus akan diberikan kepada kawalan kewangan yang lebih teratur, mudah dan selamat.Secara asasnya, dompet elektronik merupakan instrumen yang menyokong pelbagai aplikasi pembayaran menerusi integrasi bersama perkhidmatan pengurusan secara menyeluruh.Ia mampu menyimpan pelbagai maklumat individu di dalam sistem storannya dan kemudian data tersebut akan dihantar atau diterima ke peranti lain bagi membenarkan aktiviti transaksi.Menerusi e-dompet, pengguna akan dapat mengakses dan melaksanakan aktiviti berkaitan perbankan seperti menerima dan menguruskan bil serta melakukan pembayaran dengan lebih senang dan selamat.Selain itu, perkhidmatan yang dibangunkan berasaskan platform web juga membenarkan transaksi pengurusan kad kredit, perdagangan dan juga utiliti secara maya.Dari segi keselamatan, setiap e-dompet mempunyai kata laluan khas bagi melindunginya daripada diceroboh oleh pihak yang tidak bertanggungjawab selain dilengkapi dengan pengurusan resit digital.Ia juga menyokong aplikasi kad pintar dan dilengkapi dengan perkakasan kriptografi bagi meningkatkan lagi keupayaan sekuriti serta prestasinya.Perjalanan transaksi turut direkod, disimpan dan diuruskan secara automatik menerusi pangkalan data binaan dalam yang mana pengguna boleh mencari, menyusun dan mengurus data tersebut secara personal.Mungkin ada ketikanya pengguna menghadapi masalah dengan transaksi terdahulu yang tertangguh, namun dengan fungsi interaktif dompet elektronik, status terkini akan dapat diketahui dengan mudah.Pengesahan digitalBukan setakat itu, mereka juga akan dibekalkan bersama dengan resit dan invois pembayaran serta sijil pengesahan digital dari bank yang terlibat sebagai bukti untuk setiap transaksi.Aplikais ini turut memerlukan peralatan seperti paparan antara muka komunikasi, peranti memori, pemproses dan juga antena frekuensi radio (RF).Keperluan paparan antara muka komunikasi sebenarnya bertujuan untuk memaparkan maklumat akaun kewangan pengguna melalui sambungan Internet ke laman web institusi kewangan manakala peranti memori digunakan untuk menyimpan data itu secara elektronik.Bagi antena RF pula, ia digunakan untuk integrasi frekuensi radio sementara pemproses digunakan untuk memacu kesemua peralatan tersebut.Fungsi dompet elektronik berkenaan disempurnakan lagi dengan kehadiran sambungan USB, suis mekanikal, suis biometrik dan suis sensitif haba.Untuk memudahkan interaksi pengguna, alat tersebut turut didatangkan dengan skrin paparan sentuh, aplikasi butang mudah dan pelbagai medium sambungan seperti wayarles, Bluetooth, frekuensi radio, Wi-Fi, USB mini dan FireWire.Bagi membolehkan setiap transaksi dijalankan dengan lancar, e-dompet akan memaparkan data-data seperti nombor akaun, nama bank dan nilai kredit.Pengurusan akaun pula biasanya akan melibatkan gabungan rangkaian sambungan Internet, pembekal akaun dan pemproses yang akan memberi arahan untuk menerima sebarang bentuk maklumat.Banyak negara telah mengimplementasikan kemudahan ini dalam sistem kewangan mereka sebagai melengkapkan kaedah konvensional.Di Filipina misalnya, perkhidmatan e-dompet telah dilaksanakan secara meluas untuk membayar bil dan membeli barangan melalui pembekal servis mobilitinya iaitu Globe Telecom dan Smart Communications.Sementara itu, di India, teknologi tersebut semakin berkembang di pasaran mobiliti dengan enam juta pelanggan baru mendaftar setiap bulan.Sambutan menggalakkan terhadap kaedah moden tersebut adalah disebabkan perkhidmatan pembayarannya yang mudah untuk dilaksanakan.Syarikat yang bertanggungjawab melaksanakan perkhidmatan tersebut di India dikenali sebagai Paymate dimana ia bukan setakat digunakan oleh individu, malah turut melibatkan aplikasi oleh syarikat-syarikat tempatan.Untuk menggunakannya, pengguna hanya perlu mendaftar bersama bank terlibat dan seterusnya mereka akan menerima nombor identifikasi personal (PIN) yang boleh digunakan bagi melaksanakan pelbagai transaksi.Transaksi biasanya dilakukan dengan menghantar nombor kod, PIN serta amaun yang terlibat kepada sistem komputer untuk sesuatu pembayaran atau aktiviti lain seperti memohon buku cek dan menukar akaun.Apa yang pasti, inovasi ini baru berada di peringkat awal dan dengan sambutan yang baik, perkhidmatannya mungkin akan diperluaskan lagi dengan pelbagai tawaran unik dan menarik pada masa hadapan.

No comments:

Post a Comment