Sunday, February 8, 2009

Derita osteoartritis

BAGI kebanyakan daripada kita, penyakit osteoartritis dilihat hanya dialami oleh warga tua bersesuaian dengan umur, tahap metabolisme serta kesihatan mereka yang semakin merosot.

Namun, adalah silap bagi kita untuk membuat jangkaan sedemikian kerana penyakit ini sebenarnya tidak mengenal usia.

Penyakit osteoartritis berlaku akibat rawan (cartilage) yang terdapat di antara dua tulang penyambung sendi badan telah menipis (terhakis), seperti di bahagian lutut, siku, pinggul dam leher.

Bagi setiap manusia normal, rawan yang terdapat di antara dua tulang, contohnya seperti di bahagian lutut, membantu melancarkan pergerakan atau membantu tulang tersebut membengkok.

Dalam erti kata lain, rawan melindungi bahagian hujung tulang bagi memudahkan pergerakan seharian.

Jika rawan telah menipis, ia akan mengakibatkan kesakitan yang amat sangat setiap kali kita melakukan pergerakan.

Lutut meletup

Setiap tindakan yang biasa kita lakukan setiap hari seperti menaiki tangga, membuka pintu malah menyikat rambut akan mengakibatkan kesakitan kepada pengidap penyakit ini.

Itulah yang berlaku kepada Zainaton Hassiah Mohamad Kamal yang menderita penyakit osteoartritis sejak dua tahun lepas.

Bagi Zainaton Hassiah, penyakit ini mula dikesan setelah dia menghadapi kesukaran untuk menggerakkan bahagian lututnya malah setiap kali dia cuba bangun dari duduk, lututnya pasti akan mengeluarkan bunyi seperti meletup.

Setelah menjalani pemeriksaan di Hospital Pusrawi di Jalan Ampang, Zainaton disahkan mengidap penyakit osteosrtritis berikutan rawan yang terdapat di bahagian lututnya semakin menipis.

Ini mengakibatkan bahagian tulangnya bergeser antara satu sama lain sekali gus menyukarkan pergerakan harian.

Bagi wanita berusia 40 tahun ini, dia tidak menyangka akan mengidap penyakit sedemikian memandangkan sebelum ini dirinya merupakan seorang yang aktif dalam kegiatan sukan mencabar seperti mendaki gunung dan juga "jungle tracking".

Namun setelah berhenti dari kegiatan sukan berkenaan untuk jangka masa yang agak lama ditambah pula dengan peningkatan berat badan, ia mungkin menyumbang kepada Zainaton Hassiah mengidap penyakit ini sekarang.

Semakin sakit

Zainaton Hassia mula didiagnosis menghidap penyakit osteosrtritis pada 2007 dan doktor telah memberikan beberapa pil ubat untuk meredakan kesakitan memandangkan penyakit tersebut masih di peringkat awal.

Namun, setelah menderita kesakitan sehingga sukar untuk berjalan dan bertugas, doktor menyarankan dia menjalani pembedahan menggunakan kaedah arthroscopy.

Kaedah ini membenarkan doktor melihat ke bahagian dalam sekitar rawan tulang yang sakit menggunakan kamera kecil dikenali sebagai arthroscope tanpa perlu melakukan pembedahan besar.

Alat ini yang turut dilengkapi video masa sebenar akan dimasukkan ke bahagian lutut bagi mencari punca kesakitan sebelum pembedahan dilakukan bagi memulihkan bahagian tersebut atau mengeluarkan bahagian yang rosak teruk.

Ketika ditemui, wanita yang berasal dari Sarawak ini telah semakin pulih dari pembedahannya dan mula menjalani rawatan susulan.

Zainaton Hassia menasihatkan kepada mereka yang mempunyai tanda-tanda penyakit osteoartritis supaya segera menjalani pemeriksaan di hospital bagi mengelakkan penyakit tersebut semakin parah.

"Jangan ambil mudah bila sakit lutut dan sakit di bahagian sendi lain kerana jika tidak dirawat dari peringkat awal, ia akan memberi kesan yang lebih teruk.

"Kebanyakan daripada kita lebih gemar pergi berurut jika berasa sakit di bahagian tersebut dan ia bukan langkah terbaik.

"Doktor mengesahkan saya telah pulih dan saya sangat bersyukur, namun yang pasti saya tidak boleh memakai kasut tumit tinggi selepas ini kerana ia akan memberi kesan ketika saya berjalan," katanya.

No comments:

Post a Comment