Sunday, February 8, 2009

Remaja menang 100 gajet elektronik

SUKAR untuk dipercayai atau mungkin menganggapnya sebagai suatu mimpi jika kita menerima kemenangan luar biasa yang tidak pernah diduga.

Namun, itulah realitinya yang berlaku ke atas seorang remaja berusia 19 tahun, Tan Kean Meng apabila diumumkan sebagai pemenang utama peraduan '100 Gajet 1 Pemenang' anjuran majalah PC.com.

Kejayaan tersebut sekali gus melayakkan beliau membawa pulang 100 buah gajet elektronik seperti skrin plasma, skrin LCD 42 inci, komputer riba, telefon bimbit, pencetak dan pelbagai lagi.

Peraduan tersebut dianjurkan sempena keluaran majalah PC.com isu ke-100 pada akhir tahun lepas.

Format peraduan itu mengkehendaki peserta meneka nilai keseluruhan 100 buah gajet elektronik yang dipamerkan di pusat membeli belah One Utama, Petaling Jaya

Pemenang telah ditentukan berdasarkan nilai tekaan paling hampir dengan nilai sebenar dan juga slogan yang terbaik.

Kemenangan telah berpihak kepada Kean Meng apabila beliau telah meneka nilai RM57,532 iaitu hampir dengan nilai sebenar RM55,759.

"Untuk membantu saya mendapatkan harga gajet-gajet tersebut, saya telah mengunjungi beberapa kedai elektrik dan kedai komputer," katanya selepas majlis penyampaian hadiah di Digitamart, pusat membeli-belah The Mines, Seri Kembangan baru-baru ini.

Sementara itu, penerbit Reach Publishing Sdn. Bhd., Selva Rajan berkata, pihaknya menerima lebih 4,500 borang penyertaan sepanjang dua bulan peraduan itu berlangsung.

No comments:

Post a Comment