Sunday, February 8, 2009

Tanam bendi bantu sara keluarga

MELIBATKAN diri dalam kerja-kerja pertanian bukanlah suatu perkara yang mudah kerana ia menuntut kesabaran dan kecekalan seseorang untuk menghadapi cabarannya.

Namun, tidak semua individu di muka bumi ini dibekalkan dengan kesungguhan untuk terus berbakti kepada tanah walaupun berhadapan dengan pelbagai dugaan.

Sesetengah golongan petani mungkin mempunyai alasan atau matlamat mereka sendiri dalam bidang pertanian yang secara tidak langsung menjadikan mereka kuat untuk terus melaksanakan tugas berkenaan.

Bagi Abu Mansor Hashim, 43, selain minat, penglibatan beliau dalam dunia pertanian juga sebenarnya dijadikan sebagai sumber rezeki untuk menyara keluarga.

Pada peringkat awal, beliau memulakan langkahnya dengan mencuba menanam beberapa jenis sayur-sayuran seperti cili, bendi, keladi, timun dan terung secara kecil-kecilan selain mengambil upah mengerjakan sawah.

Setelah lebih sepuluh tahun menjalankan kerja tersebut, pada tahun 2006 beliau akhirnya mengambil keputusan untuk memberi tumpuan kepada penanaman bendi secara lebih serius.

Bermodalkan pinjaman yang diterima daripada AgroBank sebanyak RM30,000, beliau memulakan projek tanaman bendi di tanah seluas empat ekar di Kampung Sungai Limau, Sungai Besar, Selangor dengan kos menyewa sebanyak RM600 setahun.

Modal dari bank tersebut diperolehi menerusi Dana 3F iaitu Tabung Untuk Makanan dengan tempoh pinjaman selama lima tahun.

Dana berkenaan merupakan inisiatif yang disediakan oleh pihak AgroBank untuk menggalakkan aktiviti pengeluaran makanan dengan tawaran had pinjaman bermula RM10,000 hingga RM10 juta menerusi tempoh pinjaman maksimum 10 tahun.

Antara projek yang layak untuk memohon pinjaman tersebut adalah yang melibatkan pengeluaran, pemprosesan dan pemasaran makanan untuk tanaman, ternakan serta perikanan.

Menurut Abu Mansor, sebelum memulakan projek tanamannya, beliau ada mengambil kira beberapa faktor penanaman dan juga risiko yang perlu ditanggung.

"Saya ada membuat serba sedikit pemantauan terhadap harga pasaran bendi untuk melihat sejauh mana sambutan pengguna terhadap sayur ini.

"Dari segi teknikal pula, saya menjalankan pemeriksaan tahap kesuburan tanah di kawasan tanaman ini untuk memastikan ia subur dan sesuai untuk projek tanaman bendi,'' katanya ketika ditemui di ladangnya baru-baru ini.

Bercerita mengenai projek tanamannya, beliau memberitahu, pokok bendi mengambil masa selama 45 hari untuk berbuah dan pokoknya boleh bertahan selama lebih kurang tujuh hingga lapan bulan tanpa penanaman semula.

Untuk memastikan pokok tersebut membiak dengan baik, proses pembajaan dijalankan setiap hari selain penyemburan racun dilakukan tiga hari sekali bagi mengelakkan jangkitan penyakit.

Dari segi percambahan, beliau berkata, pokok bendi mempunyai peratus pertumbuhan yang tinggi dan kadar kematiannya pula adalah rendah.

Namun, pemantauan perlu dijalankan setiap hari bagi memastikan pokok-pokok tersebut bebas dari penyakit.

Antara jenis masalah yang sering menyerang pokok bendi adalah seperti serangan serangga bena hijau yang menyebabkan pelbagai penyakit seperti kerosakan pada daun, pucuk menjadi kuning dan tidak bertindak balas terhadap baja.

Setakat ini beliau mempunyai seramai lima orang pekerja untuk membantunya menjalankan kerja-kerja meracun dan juga membaja selain memetik hasil ketika tiba musim menuai.

"Kerja memetik hasil ini perlu dilakukan setiap hari untuk mengelakkan saiz bendi daripada terlalu menjadi besar dan panjang.

"Ini kerana untuk tujuan pasaran, kebanyakan pengguna menggemari sayur bendi yang bersaiz sederhana dan tidak terlalu besar,'' kata ayah kepada empat orang anak itu.

Untuk sekali proses menuai hasil, ladangnya berjaya menghasilkan sehingga 700 kilogram bendi sehari.

Hasil tersebut akan dijualkan terus kepada pemborong dan peniaga dari Pasar Selayang yang akan datang ke ladangnya setiap hari dengan harga RM2.80 hingga RM3 sekilogram.

Beliau yang pernah bertugas sebagai kontraktor pembinaan di Singapura selama lapan tahun berkata, harga borong untuk bendi adalah bergantung kepada permintaan dan juga kualiti buahnya.

Dari segi kos pembiayaan tanaman, beliau perlu mengeluarkan belanja yang besar untuk membeli baja dan racun rumpai.

Harga untuk benih juga tidak kurang tingginya iaitu RM110 satu tin di mana ladangnya memerlukan sebanyak 16 tin untuk sekali proses penanaman.

Berkat kesabaran dan kerja kerasnya, beliau kini telah memperluaskan penanaman bendinya di tanah seluas satu ekar milik bapanya berhampiran rumah beliau.

"Melalui perluasan kawasan ini, dapatlah saya menambah pendapatan untuk membantu menyara keluarga,'' jelasnya.

Jika mempunyai peluang, beliau juga bercadang untuk memperkembangkan ladangnya agar tanaman secara penggiliran dapat dijalankan bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Setakat ini, beliau belum bercadang untuk membuka kursus atau latihan kepada penanam-penanam baru yang berminat.

Justeru, beliau menasihatkan sesiapa yang berminat untuk menceburi bidang berkenaan agar berani mencuba dan belajar sedikit demi sedikit.

No comments:

Post a Comment